LEBIH 820,000 PENERIMA BAKAL RASAI MANFAAT BKJ BERNILAI RM263.72 JUTA

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM263.72 juta menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi 24 kategori Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 820,000 penerima daripada golongan memerlukan, dengan agihan Fasa 5 dan 6 bermula Disember 2026 hingga Februari 2027. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM263.72 juta menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi pelaksanaan 24 kategori Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang bakal memanfaatkan lebih 820,000 penerima, khususnya membabitkan golongan yang memerlukan.
Menerusi BKJ Fasa 5 dan Fasa 6 yang akan dilaksanakan pada Disember 2026 dan Februari 2027, bantuan berkenaan bakal disalurkan kepada pelbagai golongan termasuk keluarga berpendapatan rendah, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah tidak bekerja serta mahasiswa anak Johor.
Antara bantuan utama yang disediakan ialah RM2,000 kepada 10,861 Ketua Isi Rumah miskin dan penerima Bantuan Am; 21,323 anak yatim (RM500); 61,208 OKU (RM200) serta 79,822 ibu tunggal berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) sebanyak RM200.
Kerajaan Negeri turut menyediakan RM38.6 juta bagi membantu 193,166 suri rumah tidak bekerja, 49,598 penggerak syiar Islam (RM24.8 juta) serta 112,000 mahasiswa anak Johor termasuk pelajar Tingkatan Enam dan Pra-Universiti (RM22.4 juta).
Bantuan turut diperluas kepada 45,056 pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing, 24,968 penjaja dan peniaga kecil, 145,648 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor serta golongan nelayan, pengusaha dan pemandu bas serta van sekolah, veteran ATM, pesara polis, pekerja sokongan, sukarelawan, penggiat industri pelancongan, pengusaha homestay, pengamal media dan masyarakat Orang Asli.
Pelaksanaan BKJ ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap kemakmuran dan pembangunan ekonomi Johor turut diterjemahkan kepada bantuan yang dapat meringankan beban kos sara hidup serta memberi manfaat langsung kepada rakyat yang memerlukan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



