BBP LARKIN SAMBUT JUBLI INTAN
ISKANDAR PUTERI — Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin kini menempa satu lagi detik sejarah apabila menyambut Jubli Intan pada tahun ini apabila genap 60 tahun beroperasi.
Ketua Balai BBP Larkin, TPgB I Mohd Suhaimi Abdul Jamal, berkata ia sekali gus menjadi kebanggaan kepada warga JBPM Johor khususnya kepada kakitangan BBP berkenaan.
“BBP Larkin pada awal penubuhannya dikenali sebagai Balai Bomba Johor Bahru dibina pada 1963 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM600,000.
“Pada 1969, insfrastruktur BBP Larkin terus diperkasakan dan menerusi fasa kedua pembinaannya, ia diangkat taraf sebagai Kompleks Balai Bomba Johor yang juga pernah menempatkan Ibu Pejabat Negeri, Setor, Bengkel dan Kuliah,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata, selepas 60 tahun memberikan dedikasi dan perkhidmatan kepada rakyat, BBP Larkin masih berbangga kerana masih gagah berdiri seiring dengan pembangunan pesat di Bandaraya Johor Bahru.
“Seluruh warga kerja BBP Larkin merasa bangga dengan pencapaian ini dan berazam untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan ke peringkat yang lebih global,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor