SKUAD KILAT MBJB PASTIKAN ADUAN KECEMASAN DITANGANI SEGERA


Skuad Kilat MBJB melakukan kerja pembersihan jalan di Kampung Paya Kenangan, Desa Mutiara susulan kejadian banjir kilat pada tahun lalu | Sumber Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Kilat bagi menangani aduan bersifat kecemasan.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman berkata, aduan bersifat kecemasan tersebut seperti banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh.

 

Menurut beliau, Skuad Kilat berperanan untuk memastikan aduan kecemasan diselesaikan dalam tempoh yang pantas.

 

“Skuad Kilat ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa melalui penambahan peralatan, kenderaan dan kekuatan bilangan anggota agar fungsinya sebagai skuad yang bertindak terhadap aduan kecemasan berjalan dengan efisien.

 

“Menerusi kerja-kerja rondaan dan pemantauan setiap hari oleh Skuad Kilat MBJB, langkah ‘preventive measures’ turut dapat diambil oleh MBJB tanpa perlu menunggu aduan awam terutamanya di kawasan ‘hotspot’ banjir kilat,” katanya dalam ucapan ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 12/2022, semalam.

 

Mohd Noorazam berkata, MBJB juga akan menambah baik sistem pengurusan aduan awam dari semasa ke semasa termasuk mengambil langkah mengintegrasikan sistem pengurusan aduan awam (SISPAA) MBJB bersama portal GeoJB.

 

Ujar beliau, langkah tersebut bagi memudahkan pemantauan penyelesaian aduan di peringkat MBJB.

 

“Integrasi maklumat SISPAA dan portal GeoJB ini adalah merupakan salah satu ciri utama dalam usaha membangunkan sebuah ‘Command Centre’ di Menara MBJB yang membolehkan integrasi dan pertukaran maklumat terutamanya berkaitan aduan awam dilaksanakan secara efisien dan automatik tanpa perlu menjana data secara manual.

 

“Melalui integrasi maklumat SISPAA dan portal GeoJB ini, maklumat aduan dapat direkodkan dan diselesaikan dengan lebih efisien,” katanya.

 

Selain itu, Datuk Bandar MBJB memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 18,038 aduan sehingga 31 Disember 2022.

 

“Daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima dalam tahun 2022, sebanyak 13,398 aduan telah diselesaikan iaitu bersamaan 74.28 peratus dari keseluruhan aduan.

 

“Selaras dengan dasar ‘No Wrong Door Policy’, MBJB sentiasa terbuka untuk menerima aduan awam meskipun penyelesaian aduan tersebut bukan di bawah tanggungjawab pihak MBJB,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor