MBJB TAWAR SUNTIKAN INFLUENZA HARGA BERPATUTAN


Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman berucap ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 12/2022, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menawarkan perkhidmatan suntikan influenza dengan harga berpatutan kepada orang awam di bandar raya Johor Bahru.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman berkata, tawaran itu sebagai langkah mengurangkan kadar penyakit berjangkit serta meningkatkan ‘herd immunity’ di banda raya tersebut.

 

“Sasaran pemberian suntikan ini adalah kepada warga bandar raya terutamanya kepada mereka yang terdedah dan berisiko tinggi kepada jangkitan influenza iaitu kanak-kanak, ibu mengandung, warga emas serta individu yang mempunyai daya ketahanan badan (imunisasi) rendah.

 

“MBJB mengenakan harga serendah RM60 bagi setiap suntukan influenza kepada warga negara serta RM80 kepada bukan warga negara,” katanya dalam ucapan ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 12/2022, semalam.

 

Mohd Noorazam berkata, warga bandar raya boleh menghubungi Klinik Bandaraya Johor Bahru di Aras Bawah, Bangunan JOTIC, bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

“Dalam pada itu, Klinik Bandaraya juga menyediakan suntikan vaksin typhoid kepada pengendali makanan serta vaksin meninggococcal kepada mereka yang akan menunai umrah,” katanya.

 

Selain itu, beliau memaklumkan MBJB telah merangka pelbagai program dan acara sebagai pengisian kalendar tahun 2023 dengan bertemakan usaha pembentukan The Greater Johor Bahru.

 

“Sejumlah 103 acara yang melibatkan aktiviti dalaman serta orang ramai telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun 2023 ini sesuai untuk setiap lapisan masyarakat dalam Johor Bahru.

 

“Antara program utama yang akan diadakan adalah seperti Seminar Warisan Bandaraya Johor Bahru, JB Kriterium Mayor’s Cup, Johor Creative Music Challenge, Festival Orang Muda Johor 2023.

 

“(selain itu) Program Community Engagement ‘Jom Jumpa Mayor@City Square’, JB Sports Week, Majlis Perasmian dan Menandatangani Deklarasi The Greater Johor Bahru, Karnival Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ke-30 dan Ambang Tahun Baharu 2024 dan lain-lain,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor