SULTAN JOHOR PUJI PRESTASI MENTERI BESAR, EXCO KERAJAAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah bekerja dengan baik dan sempurna.

 

“Walaupun ada yang kurang berpengalaman, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebolehan mereka.

 

“Kalau tidak faham tentang sesuatu perkara, mereka boleh datang dan tanya saya. Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri juga ada untuk membantu melicinkan segala tugas dan menyelaras segala program yang hendak dibuat,” titah baginda Tuanku Sultan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Sultan Johor bertitah, mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya merekodkan lebihan hasil pada tahun lalu, berbanding defisit tahun sebelumnya.

 

“Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih dari hasil yang kita kutip.

 

“Saya harap prestasi kewangan kerajaan akan lebih baik pada tahun ini kerana aktiviti pembangunan ekonomi dilihat semakin rancak terutama dalam sektor pembangunan hartanah dan industri.

 

“Setiap jabatan juga mestilah patuh kepada arahan perbelanjaan yang berhemah dan langkah berjimat cermat serta pastikan semua perolehan dibuat dengan telus, cekap dan mengikut konsep ‘value for money’,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

Selain itu, Sultan Ibrahim turut bertitah, berpuas hati dengan tingkah laku dan peranan yang telah dijalankan oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

 

“Tetapi selepas ini, janganlah dibawa semula perangai lama yang jelik dan tidak senonoh agar tidak perlu saya ingatkan lagi ‘Jangan Jadikan Dewan Ini Seperti Apa’.

 

“Setiap Ahli Dewan harus sentiasa menjaga imej dan tingkah laku kerana gelaran ‘Yang Berhormat’ kenalah sesuai dengan orangnya,” titah Baginda Tuanku Sultan.

 

Sultan Johor juga bertitah berpendapat gelaran ‘pembangkang’ diberikan kepada ADUN di pihak bukan kerajaan adalah kurang sesuai berikutan peranan wakil rakyat berkenaan bukan sekadar membangkang cadangan kerajaan.

 

“Mereka bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati. Namun begitu, janganlah pula ada sikap membalas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja.

 

“Saya juga tiada masalah dengan pihak pengimbang kerajaan. Mereka boleh menghadap saya dan berikan pendapat atau idea mereka,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

Sultan Ibrahim bertitah berharap keadaan politik yang stabil terus dikekalkan dan semua pihak bekerjasama demi rakyat serta negeri ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor