PERUNTUKAN KHAS BAIK PULIH INFRASTRUKTUR AWAM, HARTA BENDA : SULTAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukkan khas pasca banjir kepada Johor dalam Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini / Sumber Foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, berharap Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan khas selepas bencana banjir di negeri ini, berakhir.

 

Titah baginda Tuanku Sultan, peruntukan khas itu bagi membaikpulih infrastruktur awam serta harta benda yang rosak dan musnah akibat banjir.

 

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Pusat yang telah memberikan peruntukan kewangan bagi meringankan beban mangsa banjir serta meluluskan projek rancangan tebatan banjir di daerah Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat untuk dilaksanakan dengan segera.

 

“Selepas bencana ini berakhir, saya harap Kerajaan Pusat akan memberikan peruntukan khas untuk membaik pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang telah musnah,” titah Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Sultan Johor bertitah, menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir agar dapat membaiki rumah, menggantikan perabot dan alatan rumah yang rosak serta musnah.

 

“Masalah banjir ini juga adalah kesan daripada perubahan iklim dunia.

 

“Oleh itu, saya menggesa kepada semua Bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

Sultan Johor menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat negeri ini, yang berhadapan dengan bencana selain berharap mangsa banjir sentiasa sabar serta tabah dalam menghadapi ujian tersebut.

 

Selain itu, baginda Tuanku Sultan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas yang telah bekerja bertungkus lumus untuk membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.

 

“Terima kasih juga saya ucapakan kepada semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan dan keperluan harian, alatan pembersihan dan yang paling penting adalah bantuan tenaga sukarela yang datang dari selurug pelusuk tanah air.

 

“Saya amat berbangga dengan semangat kerjasama dan bantu membantu yang diberikan tanpa mengira kaum atau agama. Inilah budaya hidup masyarakat kita yang mesti dipertahankan ‘ibarat aur dengan tebing’, ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor