ADUAN PUKAT TUNDA GANGGU NELAYAN KECIL DIPANDANG SERIUS


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perikanan Negeri Johor memandang serius aduan penggunaan pukat tunda mengganggu aktiviti nelayan kecil di negeri ini, termasuklah di perairan Muar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, aktiviti penguatkuasaan sentiasa dilakukan selaras dengan Akta Perikanan 1985 bagi memastikan kelestarian sumber perikanan di perairan negara, khususnya di negeri ini.

 

“Antara langkah-langkah dilaksanakan jabatan bagi menangani isu ini adalah, pertama, peningkatan program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan sebanyak 20 peratus berbanding sebelum ini, dengan sentiasa menggerakkan aset dan anggota secara berterusan.

 

“Kedua, memberi penerangan dengan melaksanakan program kesedaran kepada nelayan setempat secara berkala berkaitan persempadanan kawasan pukat tunda dan kesalahan melanggar zon penangkapan ikan tradisi,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap aduan penggunaan pukat tunda yang mengganggu aktiviti nelayan kecil di perairan Muar..

 

Zahari berkata, langkah ketiga adalah menjalinkan kerjasama dengan pihak lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terutamanya dalam perkongsian maklumat, risikan serta aduan.

 

Selain itu, ujarnya, langkah keempat pula meningkatkan keupayaan penguatkuasa Jabatan Perikanan Malaysia dengan penambahan aset bot peronda di Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Pahat yang dijangka diterima pada akhir tahun 2024 atau awal tahun 2025.

 

“Sebagai rekod tahun 2022, kes tangkapan di perairan Johor menerusi empat Pangkalan Perlindungan Sumber di Johor adalah sebanyak 63 kes bagi pelbagai kesalahan dan 14 daripadanya adalah kes bagi kesalahan penggunaan pukat tunda yang menceroboh Zon A.

 

“Jumlah kes tangkapan oleh Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Pahat di sekitar perairan Batu Pahat dan Muar adalah sebanyak 24 kes da tiga daripadanya adalah kes pukat tunda yang menceroboh Zon A,” katanya.

 

Beliau berkata, aktiviti pencerobohan vesel pukat tunda (Zon B) ke zon penangkapan nelayan pantai (Zon A) akan memberikan kesan negatif ke atas ekosistem pinggir pantai (Zon Litoral).

 

“Perubahan bentuk muka bumi dasar laut akibat daripada aktiviti penundaan di pinggir laut yang cetek akan menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi kepada benih ikan dan kehidupan akuatik marin yang lain.

 

“Selain itu, Akta (Perikanan 1985) ini dikuatkuasakan bagi mengelakkan konflik dan pertelingkahan antara nelayan pantai (Zon A) yang menggunakan peralatan penangkapan ikan tradisional dengan nelayan komersial (Zon B) yang menggunakan peralatan penangkatan ikan berkapasiti tinggi,” katanya.

 

Zahari berkata, terdapat lima zon perairan aktiviti perikanan berdasarkan Sistem Pengezonan Perairan Perikanan Malaysia iaitu Zon A (0-5 batu nautika), Zon B (5-12 batu nautika), Zon C (12-30 batu nautika), Zon C2 (30 batu nautika hingga sempadan lautan lepas / ZEE) dan Zon C3 (Lautan Hindi).

Katanya, setap zon telah ditetapkan jenis peralatan tangkapan dibenarkan untuk menangkap ikan.

 

“Pengezonan ini dapat memastikan pembangunan sosio-ekonomi nelayan yang lebih seimbang di samping menjamin kemampanan sumber perikanan khususnya di negeri Johor,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor