LALUAN FT017 LEBUH RAYA PASIR GUDANG DITUTUP UNTUK KERJA PEMBAIKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan lebuh raya Pasir Gudang ditutup untuk satu lorong sepanjang empat kilometer (KM) selama 19 hari / Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Laluan FT017 Lebuh raya Pasir Gudang ditutup untuk satu lorong sepanjang empat kilometer (KM) selama 19 hari bagi kerja pembaikan jalan bermula hari ini hingga 8 April depan.

 

Penutupan jalan itu membabitkan lorong laju (fast lane) di lebuh raya terbabit bermula dari Seksyen 20.00 hingga 24.00.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penutupan laluan terbabit bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilakukan dengan cekap demi manfaat pengguna laluan tersebut kelak.

 

“Setelah membuat kajian, kaedah pembaikan yang terbaik digunakan di FT017 Lebuhraya Pasir Gudang adalah kaedah Cold In Place Recycle (CIPR). Dengan kaedah ini, ianya dapat menjamin ketahanan kualiti jalan yang selamat dalam tempoh jangka masa 10 tahun.

 

“Penutupan lorong ‘fast lane’ ini tidak dapat dielakkan kerana kaedah CIPR perlu mengambil masa selama minimum 19 hari sepanjang empat km bagi mendapatkan kekuatan struktur ‘roadbase’ (asas jalan) sebelum kerja turapan premix dilaksanakan,” katanya dalam laman sosial Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda trafik serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

 

Katanya, pihaknya berharap semua pengguna laluan terbabit dapat bersabar demi kebaikan dan keselamatan semua pada masa hadapan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor