KERAJAAN JOHOR KOMITED LAHIRKAN LEBIH RAMAI PEGUAM SYARIE BERKUALITI


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 192 peguam syarie telah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor, setakat ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tiada ciri khusus ditetapkan bagi seseorang diterima masuk sebagai peguam syarie di negeri ini.

 

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua mereka diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Johor) 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap.

 

“Pertama, kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah Peguam Syarie. Kedua, peperiksaan bertulis. Dan ketiga, temuduga,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail mengenai ciri khusus ditetapkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dalam melahirkan lebih ramai peguam syarie di negeri ini.

 

Mohd Fared berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan calon peguam syarie berkualiti harus melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis bagi melayakkan ke peringkat temuduga.

 

Ujarnya, bagi peringkat temuduga pula, calon perlu melepasti markah 80 peratus untuk lulus.

 

“Markah penilaian ini akan dibawa dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan dan jika di peringkat jawatankuasa meluluskan, maka calon-calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dapatkan pengesahan lantikan,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan penerimaan peguam syarie negeri Johor yang sedikit pengambilannya berikutan beberapa punca.

 

“Pertama, calon agak lambat membawa soalan kerana soalan dalam tulisan jawi. Kedua, salah merujuk peruntukan seksyen. Ketiga, kurang mahir dalam membawa jawi dan ada calon yang tidak faham pada kehendak soalan,” katanya.

 

Justeru, Mohd Fared berkata, MAINJ komited bagi memastikan negeri Johor dapat melahirkan lebih ramai peguam syarie berkualiti.

 

“MAINJ mengambil inisiatif dengan melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan-soalan tahun yang lalu, sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan dan calon yang berminat boleh membeli buku soalan ini melalui medium-medium yang akan dimaklumkan kelak. Penjualan buku-buku soalan ini akan diumumkan penjualannya dalam masa yang terdekat,” katanya.

 

Selain itu, beliau memaklumkan MAINJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor untuk menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor