DEWAN NEGERI JOHOR MERAFAK SEMBAH UCAP TAHNIAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN RASMI DYMM SULTAN JOHOR


Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Dewan Negeri Johor hari ini, merafak sembah dan menjunjung kasih dengan ucapan tahniah kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan Rasmi baginda Tuanku, esok.

 

Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mendoakan kesejahteraan Sultan Johor dan kemakmuran negeri di bawah naungan baginda Tuanku Sultan.

 

“Ahli-Ahli Yang Berhormat, sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari esok, 23 Mac 2023, patik dan seluruh Ahli Dewan Negeri merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada DYMM Tuanku.

 

“Semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan untuk terus bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim. Semoga negeri Johor Darul Ta’zim juga akan terus makmur, aman di bawah naungan pemerintahan DYMM Tuanku,” katanya dalam ucapan pemasyhuran Speaker Dewan Negeri Johor pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Untuk makluman, 23 Mac diisytiharkan sebagai Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor sekali gus merupakan Hari Kelepasan Am bagi negeri ini.

 

Sebelum ini, Kerajaan Johor mengisytiharkan 26 Mac 2023, sebagai Hari Kelepasan Am sekiranya Awal Ramadan jatuh pada 23 Mac, iaitu esok.

 

Gantian cuti tersebut berikutan tarikh 23 Mac, merupakan Hari Kelepasan Am bagi Negeri Johor sempena Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor