PELBAGAI BENTUK SOKONGAN KEPADA MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan dalam bentuk sokongan moral dan mental kepada mangsa keganasan rumah tangga termasuklah melindungi golongan tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, pihak yang menyediakan khidmat itu adalah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

 

“YPKDT dengan khidmat kaunselor seramai tujuh orang mempunyai beberapa bentuk bantuan sokongan modal dan mental seperti perkhidmatan kaunseling secara individu atau bersama keluarga.

 

“Manakala JPW berperanan dalam memberi panduan kepada masyarakat tentang pentingnya usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Penawar, Fauziah Misri mengenai jenis bantuan sokongan moral dan mental ditawarkan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

 

Khairin-Nisa berkata, Program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita diperkenalkan pada tahun ini, di mana Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor (PPWNJ) bekerjasama dengan kaunselor berdaftar di bawah JKM, LPPKN dan YPKDT.

 

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menganjurkan sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita disambut pada 25 November setiap tahun.

 

“Perkhidmatan kaunseling juga salah satu bantuan dan sokongan emosi disediakan KPWKM di bawah LPPKN Negeri Johor,” katanya.

 

Selain itu, katanya, seramai 11 panel kaunselor berkhidmat di LPPKN Negeri Johor sehingga kini, dan sebanyak 1,134 sesi melibatkan 4,089 klien dilaksanakan Unit Kaunseling sepanjang 2020 hingga tahun ini.

 

“JKM Negeri Johor juga mempunyai 16 kaunselor yang berada di setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan Ibu Pejabat JKM Johor,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor