30 PELAJAR KKJ TERIMA BANTUAN BAKUL KASIH


EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah santuni salah seorang pelajar Kolej Kemahiran Johor (KKJ). | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 30 pelajar Kolej Kemahiran Johor (KKJ) semalam menerima bantuan Bakul Kasih Ramadan yang bertujuan membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menjalani ibadah puasa dengan lebih bermakna.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata menerusi program anjuran Bahagian Korporat dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) KKJ dengan kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Berhad secara tidak langsung membantu golongan terbabit membuat persiapan menjelang lebaran kelak.

 

“InsyaAllah, selain (pemberian bantuan) Bakul Kasih, saya turut menyampaikan sumbangan duit raya yang diharapkan sedikit sebanyak memberi sinar sebagai persiapan anak-anak ini untuk meraikan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

 

“Selaku EXCO yang bertanggungjawab dalam portfolio Sumber Manusia dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin di mana KKJ ini beroperasi, saya akan memastikan suara dan sebarang permasalahan berkaitan KKJ akan diangkat dan dibawa kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi laman sosial Facebook rasminya.

 

Mohd Hairi berkata, pihaknya berharap KKJ akan terus menjadi kolej kemahiran terbaik di negeri ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memperkasa program berkaitan dengan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor