KESIAPSIAGAAN TINGGI SOUTHERN VOLUNTEERS HADAPI BENCANA


Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar berkata Southern Volunteers (SV) memainkan peranan penting sepanjang bencana banjir di negeri ini, pada Februari hingga Mac lalu.

 

ISKANDAR PUTERI — Sukarelawan Southern Volunteers (SV) menjadi antara pasukan berada barisan hadapan yang memainkan peranan penting sepanjang bencana banjir di negeri ini, pada Februari hingga Mac lalu.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar berkata, komitmen diberikan sebagai ‘tenaga sokongan’ berjaya direalisasikan berkat persiapan rapi yang dilakukan pasukan itu.

 

Ujarnya, persiapan dilakukan bermula Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada bulan Oktober, bersama pelbagai pihak termasuklah pasukan SV bagi menyelaras sumber dan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP).

 

“Saya pecahkan persediaan menghadapi banjir ini kepada tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas banjir. Saya akan adakan pertemuan sebab mustahak bagi melaksanakan kerja semasa banjir dan selepas banjir.

 

“Sebab semasa dan selepas ini, banyak kerja yang kita laksanakan secara ‘ad hoc’, namun kita telah rancang sebelum banjir berlaku,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Bercakap mewakili SV, On berkata, gerak kerja misi bantuan bencana dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama berterusan pelbagai pihak walaupun berdepan cabaran dan kesukaran pada permulaan.

 

“Komunikasi dengan agensi kerajaan, pertubuhan sukarelawan yang lain dan juga persatuan belia, Alhamdulillah tiada masalah.

 

“Sebab kita sudah adakan perjumpaan di peringkat awal (iaitu) pada Bulan Kesiapsiagaan Nasional, (dan) kita telah bersedia. Jadi apabila tiba masanya kita bergerak sahaja,” katanya.

 

Beliau turut menjunjung kasih kepada DYMM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas sokongan selain titah baginda Tunku yang banyak membantu melancarkan gerak kerja dirancang oleh SV.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor