KULAI KE ARAH STATUS BANDAR RAYA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menegaskan pembangunan pesat membuka ruang dan peluang kepada Kulai meraih limpahan kemasukan pelaburan.

 

ISKANDAR PUTERI — Kepesatan pembangunan berlaku di daerah Kulai, memacu ke arah menjadikan daerah tersebut berstatus bandar raya pada masa akan datang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, daerah itu telah memenuhi beberapa kriteria ditetapkan untuk dinaiktaraf menjadi sebuah bandar raya.

 

“Kulai di bawah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Penduduknya sudah hampir 300,000 orang. Dia ‘on going’ kepada bandar raya, cuma jumlah penduduk itu masih tidak cukup. Syarat (kriteria) lain sudah cukup. Kulai ini menerima pelaburan luar negara antara yang tertinggi di Johor. Ada di Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) dan Senai Airport City.

 

“Ini kawasan-kawasan industri yang baru. Banyak peluang pekerjaan pada masa akan datang,” katanya dalam temubual bersama Johorfm dalam segmen YB Apa Cerita dikendalikan oleh DJ Balqis dan DJ Jeeha, baru-baru ini.

 

Bagi tujuan menaik taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada bandar raya, terdapat kriteria ditetapkan perlu dipenuhi iaitu jumlah penduduk tidak kurang 500,000 orang, kemapanan sumber kewangan, perkhidmatan tahap tertinggi dan pembangunan lestari.

 

Selain itu, kriteria lain adalah penyediaan kemudahan lain antaranya pusat perindustrian, institusi kewangan dan pendidikan, pusat aktiviti, infrastruktur dan utiliti awam lengkap serta pengiktirafan tertentu sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

 

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pembangunan pesat berlaku di daerah Johor Bahru telah membuka ruang dan peluang kepada Kulai meraih limpahan kemasukan pelaburan di negeri ini.

 

“Sebab itu, Kulai ini perumahannya sedang berkembang. Banyak pelabur-pelabur masuk dan saya yakin untuk dua ke tiga tahun ke hadapan, (lebih) banyak peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat di Kulai khasnya Bukit Permai,” katanya.

 

Ketika ditanya secara langsung mengenai isu kesesakan lalu lintas di Kulai, beliau berkata, perkara itu dalam perhatian kerajaan negeri terutama PBT untuk diselesaikan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

 

Ujarnya, terdapat tiga kawasan yang pesat membangun di Kulai melibatkan pemaju ternama iaitu Bandar Putra, Bandar Indahpura dan Scientex.

 

“Di peringkat PBT khasnya MPKu, kita sudah berbincang dengan ‘taskforce’ untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kulai ini. Sehingga satu tahap, kalau masalah ini tidak dapat diselesaikan oleh pemaju-pemaju yang besar ini, saya akan minta Yang Dipertua (Majlis Perbandaran) Kulai untuk siapkan dahulu jalan-jalan alternatif.

 

“Di peringkat penduduk saya faham isu lalu lintas, kesesakan di bandar Kulai ini semakin hari semakin kritikal. Sebab itu, kita ada ‘taskforce’ terdiri pelbagai agensi seperti JKR untuk memberikan input bagaimana hendak mengatasi masalah kesesakan di Kulai. Perkara itu sedang berjalan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor