RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR MERIAH


Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. | Foto oleh: Saufi Razale, MDJ.

 

JOHOR BAHRU — Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023M/1444H Setiausaha Kerajaan Johor berlangsung meriah di Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Johor, hari ini.

 

Pelbagai juadah disajikan kepada orang yang hadir antaranya Laksa Johor, Mee Rebus, Aneka Minuman, Ketupat Burasak, Cendol ABC, Sate, Kuih Buah buahan, Soto dan Nasi Beriani menerusi 13 gerai yang dibuka.

 

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Majlis rumah terbuka yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu Aidilfitri daripada kombo Yayasan Warisan Johor menghiburkan ribuan tetamu yang hadir seawal jam 9.30 pagi lagi.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani bersama isteri, Yang Dihormati Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah binti Abdul Latiff bersama warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor telah meluangkan masa menyantuni serta melayani tetamu.

 

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengunjung yang memeriahkan rumah terbuka anjurannya.

 

“Saya berasa terharu melihat kepada ribuan tetamu yang hadir ke rumah terbuka ini.

 

“Mereka yang datang juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sekaligus mencerminkan semangat kekeluargaan bangsa Johor”, katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor