RM6 JUTA DITERIMA BAIKI ENAM LOKASI JALAN PERSEKUTUAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh melakukan tinjauan ke lokasi pembaikan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak RM6 juta diterima bagi melaksanakan kerja pembaikan enam lokasi di Lebuhraya Pasir Gudang.

 

Lokasi terbabit adalah FT17 KM 12-13 Stesen Minyak Petron dan Lace Motor; FT17 KM 20-21 Stesen Minyak Petronas; FT17 KM 21-22 Persimpangan Bertingkat Seri Alam.

 

Selain itu, FT17 KM 22-23 Kilang Memoland Industri / Susur Jalan Masai Lama; FT17 KM 23-24 Persimpangan Bertingkat Taman Rinting serta FT35 KM 13-14 Lampu Isyarat Stadium Pasir Gudang (masih dalam pembaikan).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor mengenalpasti 25 kerosakan di sepanjang FT17 Lebuhraya Pasir Gudang dan FT35 Permas Jaya – Pasir Gudang.

 

Menurutnya, JKR Negeri Johor sudah memohon peruntukan RM29 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja baik pulih menggunakan kaedah ‘Cold-in Place Recycling’ (CIPR) iaitu kaedah lebih tahan lama khususnya di jalan yang sering dilalui kenderaan berat di lebuh raya itu.

 

“Pihak kerajaan negeri mengambil berat isu keadaan jalan yang rosak di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang ini dan melakukan libat urus berterusan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memastikan peruntukan yang dipohon dapat diluluskan segera,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli turut memaklumkan pembaikan sementara seperti tampalan lubang akan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan tiada lubang yang membahayakan keselamatan pengguna sementara menunggu peruntukan dipohon diluluskan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor