PERMAISURI JOHOR BERANGKAT KE MAJLIS TAZKIRAH SYAWAL


Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Tazkirah Syawal di Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Johor | Foto oleh: Nurina Aisyah, MDJ

 

JOHOR BAHRU — Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Tazkirah Syawal di Kediaman Rasmi Setiausaha Kerajaan Johor di sini, hari ini.

 

Turut berangkat mengiringi baginda ke majlis berkenaan ialah YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam.

 

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi Rohani dan isteri yang juga Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor, Puan Sri Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff.

 

Hadir sama ialah Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Salehuddin Hassan, Barisan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor dan Ahli PUSPANITA Johor.

Pada majlis tazkirah anjuran PUSPANITA Johor berkenaan, baginda turut berkenan untuk mendengar tazkirah yang bertajuk ‘Tazkirah Syawal’ yang disampaikan oleh Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Nasri Rahman.

 

Antara intipati takzkirah berkenaan ialah umat Islam perlu memberi penekanan untuk sentiasa meningkatkan amal ibadah seperti mana yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Takzirah yang sama turut menasihatkan supaya berhati-hati ketika meraikan bulan Syawal dari terpalit dari dosa-dosa kecil seperti sifat iri hati dan tidak bersyukur.

 

“Kadang kita beraya, kita lupa fitrah kita yang sudah menyucikan diri dan beramal sepanjang bulan Ramadan. Kita sudah buat ibadah sepanjang bulan Ramadan, Allah datangkan ujian untuk menguji ketakwaan dan kita perlu yakin kepada segala hikmah Allah,” katanya.

 

Pada majlis tazkirah itu, Mohd Nasri turut menasihatkan semua rakyat Johor supaya sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain.

 

“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, tidak sempurna iman seseorang itu selagi mana dia tidak berkasih sayang antara saudaranya. Mudah-mudahan dengan keberkatan Syawal ini dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara kita terutamanya rakyat Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor