BIASISWA PENUH BANTU TIGA ORANG PELAJAR SPM TERBAIK


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh (tiga dari kiri) mengiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor bakal menyediakan biasiswa penuh kepada tiga pelajar di negeri ini, yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, pelajar berkenaan dipilih selepas keputusan peperiksaan itu diumumkan hujung bulan ini.

 

Menurutnya, pemberian biasiswa itu pada tahun ini, antara inisiatif persediaan Kerajaan Johor dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negeri pada masa hadapan.

 

”Insya Allah, kerajaan negeri akan memberikan bantuan biasiswa penuh kepada tiga orang pelajar yang terpilih selepas keputusan SPM diumumkan.

 

”Kita akan membuat pemilihan tiga orang pelajar yang benar-benar layak untuk kerajaan negeri biaya pendidikan bagi tahap A-Level. Ini adalah biasiswa pertama yang diumumkan oleh Menteri Besar untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru 2023 di Sekolah Tun Fatimah, di sini, hari ini.

 

Pada majlis tersebut, Sekolah Tun Fatimah menerima peruntukan RM300,000 daripada kerajaan negeri berikutan prestasi cemerlang sekolah berkenaan di dalam peperiksaan SPM setiap tahun.

 

Pengetua Cemerlang, Sekolah Tun Fatimah, Nor Hayati Yusoff berkata, pihaknya sangat menanti-nanti khabar gembira tersebut dan akan menggunakan dengan sebaik mungkin.

 

“Memang sangat tertunggu-tunggu peruntukan ini. Kami dapat siapkan gelanggang untuk kegunaan para pelajar di sini.

 

”Peruntukan ini adalah untuk gelanggang kerana selepas pembinaan blok asrama yang baharu, para pelajar tidak ada ruang untuk jalankan aktiviti. Pihak sekolah juga akan gunakan untuk selenggara fasiliti yang lain,” katanya.

 

Beliau berkata, Sekolah Tun Fatimah telah muncul sebagai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik berdasarkan keputusan SPM 2021 dengan catatan 0.84 nilai gred purata sekolah.

 

“Untuk SPM 2023, kita ada seramai 148 calon dan kita menyasarkan 0.90 kerana pembelajaran pasca Covid-19 agak mencabar. Tetapi para pelajar beritahu saya mereka nak capai 0.60,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor