ISU KEKURANGAN TEMPAT LETAK MOTOSIKAL TEMUI PENYELESAIAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil inisiatif berkenaan isu parkir motosikal melalui kebenaran menggunakan tempat letak kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bermula esok. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Isu kekurangan tempat letak motosikal bagi kegunaan pegawai dan orang awam di bangunan JB Sentral menemui penyelesaiannya.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasil perbincangan kerajaan negeri bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), motosikal dibenarkan menggunakan tempat letak kenderaan di bangunan tersebut bermula esok.

 

Menurutnya, bagi staf dan petugas Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan JB Sentral, lokasi parkir di aras dua, Anjung Utara manakala orang awam di aras dua, Anjung Selatan.

 

“Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif ini. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Semalam, Menteri Besar Johor meninjau keadaan laluan sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Ketua Pengimbang Kerajaan Dewan Negeri Johor, Andrew Chen Kah Eng.

 

Dalam tinjauan tersebut, beliau menyedari isu kekurangan tempat letak kereta dan motor bagi kegunaan pegawai dan orang awam perlu diperbaiki dan ditambahbaik.

 

Justeru, Onn Hafiz memberitahu kerajaan negeri dengan kerjasama dan bantuan Kerajaan Persekutuan perlu mencari kaedah penyelesaian isu berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor