IIB IKRAR TENTANG RASUAH


Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). | Foto ihsan SPRM Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Iskandar Investment Berhad (IIB) menyatakan komitmen menentang rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan anti-rasuah, baru-baru ini.

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim, berkata IIB memberi sepenuh komitmen untuk memastikan piawaian integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang baik mampu membimbing syarikat dalam usaha memacu pertumbuhan mampan serta melaksanakan amalan perniagaan yang beretika.

 

“Ikrar ini merupakan inisiatif kami untuk menegak integriti, meningkat kecekapan tadbir urus, dan ketelusan dalam operasi perniagaan kami. Kami ingin memupuk kesedaran dalam kalangan warga kerja IIB tentang pentingnya amalan nilai murni dan menerap integriti sebagai tanggungjawab setiap warga kerja IIB.

 

“Dengan menerima IBR ini, IIB mengukuhkan tekadnya untuk membentuk budaya integriti di setiap peringkat di seluruh organisasi dan ekosistem pemegang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

 

Idzham menambah, IIB turut mengambil maklum bahawa IBR yang diperkenalkan SPRM itu akan memberi penekanan kepada ikrar dan sumpah yang diambil secara sukarela oleh kepimpinan syarikat dan warga kerjanya dalam kapasiti individu.

 

“Dalam konteks ini, setiap individu bertanggungjawab menjalankan tugas dan mencegah sebarang penglibatan amalan rasuah. Ini menandakan satu peristiwa penting dalam komitmen kami untuk memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan anti-rasuah kerana ia mengambil langkah penting ke arah menggalakkan tadbir urus yang lebih baik dan budaya berintegriti.

 

“Kami juga mengiktiraf inisiatif memerangi rasuah sebagai tugas dan tanggungjawab bersama yang dikongsi oleh semua anggota masyarakat, melangkaui peranan eksklusif SPRM,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor