JOHOR PERKASA PERANAN SEBAGAI BAKUL MAKANAN MALAYSIA, ANTARABANGSA
ISKANDAR PUTERI — Johor berhasrat memperkasakan lagi peranan sebagai ‘bakul makanan’ untuk Malaysia dan negara serantau serta antarabangsa.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.
Menurutnya, peranan pengusaha dan pelabur sektor agromakanan amat penting bagi menjayakan aspirasi itu.
Terdahulu, beliau telah mempromosikan Johor sebagai destinasi pengusaha agromakanan dalam Seminar Pelaburan Subsektor Tanaman Agromakanan Malaysia di Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, dekat Putrajaya, semalam.
“Antara yang dikongsikan adalah, pertama, tadbir urus yang baik dan hala tuju pembangunan sektor agromakanan Negeri Johor yang jelas. Kedua, kelebihan Johor yang mempunyai bank tanah sektor agromakanan.
“Ketiga, kelebihan pembangunan wilayah ekonomi (ECER, IRDA & KEJORA) yang menitikberatkan sektor agromakanan selain kedudukan Johor yang strategik dan pasaran serantau yang luas termasuk Singapura,” katanya.
Perkara keempat, beliau memberitahu adalah pelbagai insentif pembangunan sektor agromakanan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Terakhir, peluang kerjasama bersama GLC dan pemain industri setempat dalam merancakkan sektor agromakanan,” kata beliau lagi.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor