KERAJAAN JOHOR KOMITED BANTU 176 KIR MISKIN TEGAR DI KLUANG
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor melaksanakan ‘taskforce’ Pembasmian Miskin Tegar di Daerah Kluang dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025.
Pasukan petugas dilaksanakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail itu turut melibatkan agensi dan jabatan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Antaranya, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) selain Yayasan Johor Corporation (JCorp) serta Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
Terdahulu, ‘taskforce’ itu bermula dengan sesi taklimat disampaikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Mohd Faiz Mohd Salleh.
Khairin-Nisa berkata, seramai 176 Ketua Isi Rumah (KIR) dikenal pasti di Kluang akan dibantu oleh Kerajaan Negeri untuk keluar dari kelompok golongan miskin tegar.
Menurutnya, kesemua KIR terbabit akan dibantu untuk keluar dari kelompok miskin tegar menerusi pelbagai inisiatif sama ada dari segi pekerjaan, pendidikan atau bantuan kewangan.
“Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor serta Yayasan Johor Corporation (JCorp) turut memberikan sumbangan kepada KIR untuk ‘taskforce’ pada hari ini.
“Diharapkan agar menjelang tahun 2025, sasaran Kerajaan Negeri Johor untuk mencapai sifar peratus miskin tegar berjaya secara tidak langsung meletakkan Johor di atas landasan Negeri Maju 2030,” katanya pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam ‘taskforce’ itu terutama JKM Negeri Johor dan MAINJ.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor