PELANJUTAN WAKTU PENGOPERASIAN KLINIK KESIHATAN DI JOHOR AKAN DIPERLUASKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, laporan keberkesanan pelanjutan waktu pengoperasian bagi Klinik Kesihatan Mahmoodiah itu akan diterima dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini. | Foto MDJ.

 

JOHOR BAHRU — Pelanjutan waktu pengoperasian klinik kesihatan di negeri ini, akan diperluaskan selepas laporan pelaksanaan inisiatif tersebut di Klinik Kesihatan Mahmoodiah, di sini, diterima.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji dapatan daripada projek perintis di Klinik Kesihatan Mahmoodiah sebelum dapat dilaksanakan di klinik kesihatan lain.

 

“Kita (Kerajaan Johor) buat percubaan di Klinik Kesihatan Mahmoodiah dahulu, berserta kajian dan pemantauan rapi sama ada perkhidmatan tersebut membantu kelancaran operasi di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

 

“Kita ingin lihat sama ada ia membantu mengurangkan kesesakan di HSA dan mengurangkan masa menunggu bagi pesakit yang datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma.

 

“Kalau inisiatif ini membantu mengurangkan kesesakan di HSA, maka kita akan laksanakan inisiatif ini di klinik-klinik lain untuk membantu hospital berdekatan lain khususnya di daerah luar Johor Bahru,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor selepas hadir ke Forum Bandar Pintar Johor 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada Selasa.

 

Tian Soon berkata, laporan pelaksanaan pelanjutan waktu pengoperasian bagi Klinik Kesihatan Mahmoodiah itu akan diterima dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

 

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas pengumuman berita gembira buat Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada Isnin lalu.

 

Ujarnya, kemasukan 35 jururawat perjawatan tetap membolehkan dua wad di Hospital Sultan Ismail (HSI) yang ditutup sebelum ini, dapat beroperasi semula.

 

“Pengumuman tersebut sudah pasti membantu mempercepatkan pengoperasian semula kedua-dua wad tersebut yang tidak beroperasi disebabkan kekurangan staf dan peralatan. Jadi, kita sedia untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih kondusif kepada pesakit di HSI,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor