JANGAN NAFIKAN KEBOLEHAN DAN KEKUATAN USAHAWAN TEMPATAN: EXCO JOHOR


Delegasi Johor ke Taiwan bagi lawatan ke tiga lokasi muzium dan kilang pengeluaran makanan dan minuman. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 20 usahawan dari Johor mengadakan lawatan ke tiga lokasi muzium dan kilang pengeluaran makanan dan minuman di Taiwan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada usahawan yang terlibat untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.

 

“Saya selaku EXCO Pembangunan Usahawan Negeri Johor melihat sesi libat urus ini akan dapat membawa hasil kepada usahawan Johor, di mana ‘engagement’ dan padanan perniagaan yang boleh direbut dan seterusnya membolehkan pasaran produk mereka diperluaskan ke negara berpotensi.

 

“Kita jangan nafikan kebolehan dan kekuatan produk usahawan Malaysia khususnya dari Johor dan berharap usahawan yang terlibat dalam Food Taipei Mega Show 2023 ini dapat membuktikan pentingnya keberadaan usahawan dari Malaysia di ekspo berskala mega ini,” tegasnya.

 

Terdahulu, EXCO Kerajaan Negeri itu melawat Muzium dan Kilang Minuman HeySong yang dimiliki Syarikat Grape King Bio Ltd serta Muzium, Kilang Kek dan Pastri Kuo Yuan Ye di Bandar Taoyuan, Taiwan.

 

Hadir sama ke lawatan tersebut ialah Pengarah Eksekutif Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), Mohd Radzi Mohd Amin; Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yosree Ikhsan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Johor, Mohd Shahrin Rahmat.

 

Mohd Hairi turut menyatakan, selain keterlibatan usahawan Muslim, lawatan tersebut turut disertai usahawan Tionghua dari Johor yang akan turut meninjau Food Taipei Mega Show 2023 yang bermula hari ini.

 

“Saya percaya kunjungan ini akan dapat mencapai objektif dari segi memberikan pendedahan dan nilai tambah yang tinggi dan mempertingkatkan kualiti dalam pengeluaran produk halal termasuk aspek teknologi, pembungkusan dan pelabelan dengan bantuan daripada PUJB.

 

“Sesi ini juga memberi peluang kepada pengusaha untuk mempertingkatkan mutu produk mereka ke arah kualiti eksport yang mantap dan bersepadu, selain menjadi medium bertukar-tukar pandangan, pendapat dan maklumat tentang industri makanan serta minuman di Asia,” katanya melalui hantaran di laman Facebook rasminya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor