ACARA SUKAN TARIK MINAT PELANCONG & PACU EKONOMI


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sports Johor semalam | Sumber Facebook YB Hairi.

 

ISKANDAR PUTERI — Penganjuran acara sukan yang pelbagai mampu menarik kehadiran pelancong ke negeri ini, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Johor.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mahu Sports Johor Sdn. Bhd. (Sports Johor) menganjurkan acara sukan bertaraf domestik atau antarabangsa bagi menjayakan hasrat itu.

“Selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor serta Pengerusi Sports Johor, saya mahu memastikan Sport Johor dapat menganjurkan pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa atau tempatan, sama ada selaku penganjur utama atau penganjur bersama.

“Banyak acara bakal diadakan pada tahun hadapan khususnya menarik minat pelancong-pelancong dari luar untuk membantu menyubur dan memacu ekonomi Negeri Johor secara keseluruhannya,” katanya, semalam.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sports Johor yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Dato’ Lukman Abu Bakar dan Ahli Lembagai Pengarah Sports Johor, Faiz Mohd Silvano.

Mohd Hairi berkata, antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah cadangan meluluskan dan menggunapakai peruntukan bagi Sports Johor bagi tahun hadapan.

“Insya Allah kita sama-sama doakan usaha dan perancangan yang dibuat berjalan dengan lancar serta dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor