ACL 2023: JDT SEDIA MANFAAT BERAKSI DI LAMAN SENDIRI


Sidang media pra-perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 diantara Johor Darul T’zim (JDT) FC bertemu Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, esok. | Foto MDJ, Bayu Wira.

 

Kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 bagi kumpulan I yang membuka tirai esok, bakal menyaksikan pertembungan antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Esteban Solari yang merupakan Ketua Jurulatih JDT akui kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan Harimau Selatan memulakan kempen dengan langkah kanan meskipun bakal berhadapan cabaran getir wakil dari Jepun.

 

Pengendali dari Argentina ini optimis pasukan bimbingannya bersedia untuk mempamerkan persembahan yang terbaik di hadapan ribuan penyokong sendiri walaupun akui Kawasaki Frontale memiliki barisan pemain yang berkualiti. Bagaimanapun, dengan persediaan yang telah dilakukan selama tempoh sembilan bulan oleh keseluruhan pasukan bagi mengharungi kempen ACL 2023, Solari yakin JDT mampu memberikan corak permainan yang berlainan dalam kempen peringkat Asia pada kali ini.

 

Keyakinan sama turut dizahirkan oleh Ketua Pasukan JDT, Jordi Amat bersandarkan prestasi dan motivasi semasa rakan-rakannya dalam pasukan yang kini berada pada tahap tertinggi selain mengambil kira pengalaman pada edisi lalu yang menyaksikan Harimau Selatan berjaya menjuarai peringkat kumpulan dan mara ke pusingan 16 terbaik. Selain itu, menjadi harapan pemain pertahanan tengah JDT ini agar corak permainan yang terbuka dapat diterjemah dan dipamerkan oleh kedua-dua pasukan untuk dipersembahkan dalam aksi pertama esok.

 

Bagi pengendali Kawasaki Frontale, Toru Oniki pula menyedari kelibat pemain import JDT iaitu Bergson Da Silva dan Juan Muniz pastinya menjadi igauan kepada pasukan bimbingannya malah menitipkan pesanan untuk memberikan perhatian serta mengawasi kedua-duanya, yang disifatkan memiliki corak permainan berbahaya. Dengan reputasi selain kelebihan JDT selaku tuan rumah, beliau merasakan pertembungan bersama skuad Harimau Selatan pasti akan menjadi perlawanan yang sukar dan berintensiti tinggi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor