KUYPJ PERLUAS JARINGAN PENDIDIKAN TINGGI ANTARABANGSA BERSAMA 24 IPT INDONESIA

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) bersama 25 Institusi Pendidikan Tinggi dari Republik Indonesia dan 12 Industri dan Agensi Swasta Malaysia di Dewan Besar KUYPJ. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) sekali lagi melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya meluaskan jaringan pendidikan tinggi antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 24 institusi pendidikan tinggi (IPT) dari Indonesia.
Selain itu, KUYPJ juga turut menandatangani MoU bersama 12 rakan industri dan agensi swasta Malaysia menerusi Majlis KUYPJ NusaSynergy 2026 yang berlangsung di Dewan Besar KUYPJ, hari ini.
Kerjasama strategik itu akan memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan jaringan akademik, penyelidikan, mobiliti mahasiswa dan pensyarah, pembangunan bakat serta hubungan antara institusi pendidikan dengan sektor industri di peringkat serantau.
Pemeteraian MoU itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang menghubungkan pendidikan tinggi, latihan kemahiran, keperluan industri dan peluang pekerjaan bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan serta tuntutan ekonomi semasa.
Menerusi kerjasama berkenaan, KUYPJ juga turut berpeluang untuk memperkukuhkan program pengantarabangsaan institusinya melalui jaringan akademik dan penyelidikan, di samping membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dari Indonesia untuk melanjutkan pengajian mereka di Johor pada masa akan datang.
Menurut YBrs Hj. Liliany Purnama Ratu, Ketua Program Studi Perbankan Syariah Universitas Islam Nusantara Al-Azhaar Lubuklinggau memberitahu potensi kerjasama antara KUYPJ dan IPT di Indonesia bakal merangkumi pertukaran mahasiswa, perkongsian kaedah pengajaran dan pemindahan ilmu, termasuk pendedahan kepada sistem pembelajaran serta pengalaman akademik di institusi masing-masing.
Penglibatan 12 rakan industri dan agensi swasta Malaysia pula akan membuka ruang yang lebih besar kepada hubungan lebih rapat antara institusi pendidikan dengan sektor pekerjaan, khususnya dalam menyediakan pendedahan berkaitan keperluan industri serta pembangunan kemahiran mahasiswa.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk program jelajah sekolah dan komuniti bersama PTTI Group Sdn. Bhd. bagi memperluas maklumat pendidikan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain memperkenalkan KUYPJ sebagai salah satu pilihan terbaik untuk melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan.
Kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi pembangunan bakat Johor menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan modal insan yang relevan dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
#KUYPJ
#NusaSynergy2026
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


