KOMUTER SELATAN KINI TAMPIL DENGAN IDENTITI JOHOR

Penampilan baharu itu memberi peluang kepada orang ramai mengenali identiti Johor serta PAJ ketika tren melalui kawasan sepanjang laluan perkhidmatan Komuter Selatan berkenaan. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Set tren bagi perkhidmatan Komuter Selatan kini tampil dengan rekaan yang beridentitikan Johor menerusi paparan identiti negeri dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) pada tren berkenaan.
Penampilan baharu itu memberi peluang kepada orang ramai mengenali identiti Johor serta PAJ ketika tren melalui kawasan sepanjang laluan perkhidmatan Komuter Selatan berkenaan.
Bagi inisiatif berkenaan, dua set tren terlibat bagi laluan Kulai–Kempas Baru–JB Sentral, manakala satu set tren bagi laluan Kempas Baru–Pasir Gudang.
Perkhidmatan Komuter Selatan turut meliputi beberapa kawasan termasuk Paloh, Kluang, Renggam dan Layang-Layang, sekali gus membawa identiti Johor ke lebih banyak lokasi sepanjang laluan perkhidmatan.
Inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan awam kepada lebih ramai rakyat serta menggalakkan penggunaan komuter sebagai pilihan perjalanan harian.
Justeru, orang ramai khususnya yang bekerja, belajar atau mempunyai urusan di kawasan sepanjang laluan komuter boleh mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan sebagai salah satu pengangkutan awam pilihan pada masa akan datang.
Selain itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan maklum balas daripada penduduk dan pekerja di sepanjang laluan Kempas Baru–Pasir Gudang bagi mengenal pasti faktor yang boleh mempengaruhi penggunaan perkhidmatan, termasuk kesesuaian waktu perjalanan dan akses ke stesen.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor berkesempatan meninjau sendiri penampilan baharu tren Komuter Selatan yang kini membawa identiti Johor dan PAJ.
#JohorSafeZone
#KomuterSelatan
#PengangkutanAwamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



