AGENDA PEMBANGUNAN PERHATIAN UTAMA SEKRETARIAT MUAFAKAT FELDA NEGERI JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab soalan YB Tuan Anuar Abd. Manap, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Pemanis mengenai fungsi dan peranan penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor dilancarkan di Menara FELDA, Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri mendengar secara langsung permasalahan dan cadangan selain hala tuju serta harapan warga FELDA di 73 tanah rancangan di negeri ini.
Dinaungi oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan dipengerusikan YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, sekretariat itu berfungsi sebagai platform perbincangan strategik, penyelarasan tindakan, libat urus pelbagai pihak serta pelaksanaan agenda pembangunan.
Antara perkara menjadi perhatian dan perbincangan utama sekretariat adalah hak milik tanah peneroka, hak milik lot kediaman generasi FELDA, perumahan generasi baharu FELDA (PGBF), pembangunan infrastruktur asas bagi rumah kediaman lot generasi FELDA, pembangunan infrastruktur, sosioekonomi serta isu semasa.
Dengan penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor, Kerajaan Negeri berharap segala cabaran yang wujud melibatkan tanah rancangan dapat ditangani bersama sekali gus dapat memastikan kesejahteraan dan pembangunan FELDA di negeri ini, dapat diperkasakan dari semasa ke semasa.
FELDA di Negeri Johor terbahagi kepada dua pengurusan wilayah iaitu FELDA Wilayah Johor Bahru dan FELDA Wilayah Segamat di mana terdapat 73 tanah rancangan dengan keluasan 122,124 hektar melibatkan penempatan dan ladang dengan jumlah lebih 180,000 warga FELDA secara keseluruhan di mana 27,642 adalah peneroka.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab soalan YB Tuan Anuar Abd. Manap, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Pemanis mengenai fungsi dan peranan penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#DewanNegeri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor