AGENSI BERKAITAN BENCANA DI MERSING TELAH DIGERAKKAN


Semua agensi berkaitan bencana daerah Mersing sudah digerakkan bagi memantau dari masa ke masa susulan fasa MTL yang sedang melanda negara.

 

ISKANDAR PUTERI — Semua agensi berkaitan bencana daerah Mersing sudah digerakkan bagi memantau dari masa ke masa susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara.

Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, pemantauan tersebut berdasarkan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi dan bacaan aras sungai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Setelah diteliti dan dikenalpasti secara terperinci oleh pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan JPS Mersing, terdapat 24 kawasan yang berisiko banjir di daerah Mersing.

“Bagi persediaan untuk menempatkan mangsa-mangsa terjejas, sebanyak 31 PPS (Pusat Pemindahan Sementara) telah dikenalpasti dan diwartakan di daerah Mersing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohammed Shakib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing memberitahu telah mengarahkan pembukaan PKOB sebagai langkap siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Ujar beliau, pembukaan PKOB itu bagi tujuan pemantauan situasi semasa melibatkan tanah runtuh, aras sungai, pasang surut laut dan jalan dinaiki air pada 20 hingga 24 Disember ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Manakala pada 25 Disember 2022 dan seterusnya, PKOB akan beroperasi 24 jam. Pegawai-Pegawai Zon yang telah dilantik akan bertindak memantau dan menyelaras setiap maklumat berkaitan di kawasan mereka sepanjang PKOB ini beroperasi,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan sehingga semalam, terdapat tiga sungai telah melepasi aras bahaya iaitu Sungai Semaloi, Sungai Tekedai dan Sungai Lengan Baju, namun keadaan di Mersing masih lagi terkawal.

Mohammed Shakib berkata, aktiviti pelancongan yang dihentikan sepanjang MTL adalah island hopping dan mendaki Gunung Arong.

“Pihak Pejabat Hutan telah mengeluarkan notis bagi penutupan Gunung Arong. Penutupan ini berlanjutan sehingga MTL tamat.

“Perkhidmatan feri ke Pulau Tioman dan resort di pulau-pulau masing beroperasi seperti biasa. Bagi kawalan keselamatan di Pantai Air Papan, bendera merah akan dinaikkan oleh petugas Menara Penyelamat Pantai APM,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa kawasan persekitaran dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa selain menghubungi PKOB Daerah Mersing di talian 07-7998831 untuk pertanyaan lanjut.

Untuk makluman, Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada 3 Oktober lalu, sebagai persediaan menghadapi MTL tahun 2022/2023.

Bagi mukim pulau-pulau dan perkampungan orang asli daerah Mersing, bekalan pengkalan hadapan telah dilaksanakan pada bulan Oktober lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor