IRDA LANCAR IMSTATURE


Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) memperkenalkan Program Iskandar Malaysia Sustainable Tourism Upskilling & Reskilling (IMSTATURE) / Gambar Ihsan IRDA.

 

ISKANDAR PUTERI — Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) memperkenalkan Program Iskandar Malaysia Sustainable Tourism Upskilling & Reskilling (IMSTATURE) yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 modal insan dalam sektor pelancongan.

Program IMSTATURE ini secara tidak langsung akan menjadi usaha terbaharu bagi menggalakkan pemulihan ekonomi dan sosial pasca pandemik Covid-19 sebelum ini.

Dalam kenyataan dalam laman media sosial rasminya, IRDA menjelaskan selain selari dengan inisiatif IMSTATURE, pihak IRDA juga telah melancarkan travelouge ‘Keunikan 7 Kampung di Iskandar Malaysia’.

Program IMSTATURE dan travelouge ini dilaksanakan sempena Program Iskandar Malaysia Sustainable Tourism 2022 di mana perkongsian kemahiran dan pengalaman antara pihak kerajaan, swasta, akademik dan komuniti diperkukuh.

Secara tidak langsung ia akan turut mengukuhkan lagi daya tahan sektor pelancongan selain daripada mempererat hubungan mesra dalam kalangan pemegang taruh.

Ia adalah satu koleksi yang menghimpunkan sembilan video yang memaparkan keunikan produk pelancongan di perkampungan berkenaan dan pada masa sama turut mengetengahkannya sebagai bukti kejayaan perniagaan yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Produk pelancongan berkenaan itu akan menawarkan pengalaman menarik kepada pelancong di mana mereka boleh menikmati sendiri sambil mempelajari cara hidup, budaya serta aktiviti seharian masyarakat kampung.

Penempatan terbabit juga adalah sebahagian daripada kampung-kampung yang menyertai Program Penambahbaikan dan Pemerkasaan Kampung (VEEP) yang dilaksanakan oleh IRDA sebelum ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor