AKAUN TELEGRAM PENGARAH KESIHATAN NEGERI JOHOR DIGODAM


Akaun Telegram milik Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Aman Rabu digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab / Gambar Media Digital Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — “Betul, ini adalah kejadian pertama dan saya sudah pun membuat laporan polis. Semoga semua berhati-hati dan mohon kemaafan untuk semua yang mengenali diri saya,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr Aman Rabu.

Dr Aman berkata, ia berikutan akaun aplikasi komunikasi Telegram miliknya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab semalam yang turut bertindak melampau dengan menyamar sebagai dirinya untuk meminta wang kepada beberapa senarai kenalan yang terdapat dalam aplikasi itu.

“Sila abaikan permintaan daripada akaun Telegram saya. Dikhuatiri dan dimaklumkan bahawa akaun Telegram saya telah digodam (hacked). Harap maaf dan ambil maklum,” katanya ringkas kepada Media Digital Johor, sebentar tadi.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam kenyataan ringkas di laman sosial Facebook rasminya memaklumkan segala mesej dihantar oleh Pengarahnya menerusi aplikasi Whatsapp atau Telegram meminta wang adalah palsu.

“Segala whatsapp ataupun mesej di telegram yang menyamar sebagai Yang Berhormat Dato’ Dr Aman bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor yang meminta duit daripada pelbagai individu adalah PALSU dan merupakan SCAMMER yang menyamar sebagai beliau.

“Mohon semua yang mendapat mesej itu supaya jangan terpedaya. Harap maklum,” jelas jabatan itu dalam hantaran di laman sosial yang sama.

Akaun Telegram Pengarah Kesihatan Negeri Johor telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang meminta bantuan berupa pinjaman wang berjumlah RM2,000.

Pihak tidak bertanggungjawab itu meminta individu yang menerima mesej untuk membuat pindahan wang dan berjanji untuk memulangkan semula keesokan hari.

Untuk rekod, akaun aplikasi komunikasi Telegram beberapa pemimpin dan pegawai tertinggi kerajaan sebelum ini turut dilaporkan pernah menjadi mangsa penggodaman oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terlepas menjadi sasaran pegodam pada Ogos lalu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga pernah menjadi mangsa godaman pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor