DEWAN NEGERI JOHOR LULUS BELANJAWAN JOHOR 2023


Dewan Negeri Johor sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2023 bertemakan ‘Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat’ pada hari ini | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Dewan Negeri Johor, hari ini, sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2023 bertema ‘Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat’.

Belanjawan negeri tahun hadapan itu telah dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Disember lalu, sebelum dibahaskan selama lima hari oleh wakil rakyat DUN Johor.

Dengan ditunjangi enam teras di mana setiap teras didukung oleh 26 strategi dan 110 inisiatif, belanjawan negeri tahun depan dibentangkan merupakan belanjawan lebihan atau surplus iaitu RM2.44 juta.

Terdahulu, dalam pembentangannya, Onn Hafiz memberitahu Belanjawan Johor 2023 terhasil daripada suara hati, jiwa dan minda 3.8 juta rakyat negeri ini.

Pada tahun hadapan, unjuran hasil negeri adalah sebanyak RM1,734.18 juta manakala unjuran perbelanjaan merupakan RM1,731.74 juta sekali gus menjadikan ia belanjawan lebihan.

Sejumlah RM1,126.74 juta diperuntukkan bagi tujuan Belanjawan Mengurus melibatkan emolumen (RM559.54 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM316.73 juta), aset (RM27.86 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM209.37 juta) dan lain-lain (RM13.24 juta).

Sementara itu, anggaran Perbelanjaan Pembangunan pula secara keseluruhan pada tahun depan adalah RM600 juta yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor