TIADA TUNGGAKAN BAYARAN ELAUN PEGAWAI MASJID, SURAU KARIAH


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pembayaran elaun kepada pegawai masjid dan surau kariah melibatkan imam, bilal dan noja di negeri ini, telah dilaksanakan sehingga bulan November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tiada tunggakan pembayaran berlaku kerana Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menetapkan elaun tersebut dibayar secara bulanan.

“Bagi tahun 2022, pihak MAINJ telah memperuntukkan RM6.13 juta, manakala peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM6.5 juta untuk dibayar kepada bilal masjid, noja masjid, imam surau dan bilal surau.

“Manakala pihak JAKIM pula telah memperuntukkan RM14.8 juta untuk dibayar kepada setiap imam 1 dan imam 2 masjid seluruh Negeri Johor,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin sama ada kerajaan negeri menimbang untuk menyediakan elaun khas yang setimpal secara tetap kepada semua imam dan bilal surau di Johor.

Mohd Fared berkata, terdapat siri bantuan secara one-off telah disalurkan khas kepada kumpulan tersebut antaranya daripada JAKIM sebanyak RM500, Bantuan Kasih Bangsa Johor (RM500), MAINJ (RM1,000).

“Dengan pelbagai bantuan khas yang telah diberikan pada tahun 2022 kepada pegawai masjid dan surau seluruh Johor telah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap institusi keagamaan khusus mereka yang bertugas di masjid dan surau dalam Johor.

“Kerajaan amat menyedari bahawa elaun-elaun yang diberikan kepada pegawai masjid dan surau ini jauh daripada mencukupi. Oleh itu, pihak kerajaan sedang berusaha mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun mereka,” katanya.

Untuk rekod, bagi masjid hanya imam 1 dan imam 2 yang layak menerima elaun bulanan berjumlah RM850 sebulan daripada peruntukan JAKIM.

Manakala kerajaan negeri pula memperuntukkan elaun bulanan kepada bilal masjid RM100 sebulan diikuti noja masjid RM80 sebulan, imam surau RM100 sebulan dan bilal surau RM50 sebulan.

Selain itu, Mohd Fared turut memaklumkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperluaskan kepada 1,733 guru al-Quran di seluruh negeri ini, bermula tahun hadapan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor