ASNAF JOHOR KINI DILINDUNGI


YBhg. Tuan Haji Zainal Eran, Pegawai Daerah Muar merasmikan THKhairat dan Penyerahan Kad Takaful Kasih Plus Agrobank. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Muar – Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melancarkan THKhairat dan Takaful Kasih Plus Agrobank bagi menjaga kebajikan serta kesejahteraan asnaf di negeri ini.

 

Inisiatif Belanjawan Johor 2025 melibatkan peruntukan RM1 juta untuk skim perlindungan takaful dan khairat berkelompok itu bakal memberi manfaat kepada 26,000 penerima.

 

Skim itu menyediakan perlindungan bagi kecederaan dan penyakit memerlukan kos rawatan yang tinggi selain risiko tidak dijangka serta sokongan kewangan jika berlaku kemalangan atau kematian.

 

Pelan perlindungan kemalangan diri Takaful Kasih Plus Agrobank memberikan manfaat berjumlah RM10,000 kepada asnaf yang meninggal dunia akibat kemalangan dan sumbangan khairat sebanyak RM1,000.

 

Manakala menerusi THKhairat pula, waris akan menerima manfaat sebanyak RM12,000 sekiranya asnaf meninggal dunia sama ada disebabkan kemalangan atau kematian semula jadi.

 

Terdahulu, pelancaran THKhairat dan Penyerahan Kad Takaful Kasih Plus Agrobank melibatkan kerjasama antara MAINJ dengan Takaful Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Agrobank itu disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Zainal Eran, Pegawai Daerah Muar di Pejabat MAINJ Daerah Muar.

 

Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan YBhg. Tuan Haji Norrizam Muhamad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor