ASYRAAF TEKAD RAIH PINGAT UNTUK ARWAH IBU


Atlet pelayaran Johor, Asyraaf Mokhtar bertekad menghadiahkan pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 buat arwah ibunya, Rosmawati Md Yusuf. | Foto Nurina Aisyah.

 

Atlet pelayaran Johor, Asyraaf Mokhtar bertekad menghadiahkan pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 buat arwah ibunya, Rosmawati Md Yusuf yang meninggal dunia awal tahun ini.

 

Membuat penampilan ketiganya di pentas SUKMA, atlet berusia 21 tahun itu menyifatkan arwah ibunya sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih cemerlang sejak berkecimpung dalam sukan pelayaran seawal usia 12 tahun.

 

Malah, antara impian terakhir arwah ibunya adalah ingin melihat Asyraaf menaiki podium di pentas SUKMA selepas dia mula berjauhan dengan ibunya ketika dipilih menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2018.

 

Asyraaf juga menyedari hikmah di sebalik galakan arwah ibu supaya menyertai sukan pelayaran adalah mengajarnya untuk lebih berdisiplin dan lebih peka terhadap alam sekitar serta ilmu ikhtiar hidup.

 

Justeru, Asyraaf yang kini menduduki tempat kedua selepas menamatkan tiga perlumbaan pada hari pertama mahu bersaing sebaik mungkin dalam baki sembilan perlumbaan kelas ILCA7 yang berlangsung di Marina Bay, Miri.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor