BAJU MELAYU TELUK BELANGA ADA KISAH DAN ELEMEN TERSENDIRI
ISKANDAR PUTERI — Baju Melayu Teluk Belanga begitu sinonim dengan negeri Johor. Sehingga kini, busana warisan ini terus menjadi pilihan orang ramai termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak untuk dipakai semasa musim perayaan dan majlis perkahwinan.
Mutakhir kini, baju Melayu tradisional ini kembali menjadi sebutan orang ramai hasil daripada rekaan moden yang lebih digemari generasi muda.
Namun, mungkin ada yang kurang mengetahui asal usul dan rekaan baju Melayu Teluk Belanga yang melambangkan identiti sebenar busana tidak lapuk ditelan zaman ini.
Jurulatih Bahagian Pengurusan Acara Yayasan Warisan Johor (YWJ), Zurawaty Husin berkata, nama baju Melayu Teluk Belanga ini diabadikan sebaik sahaja Inggeris menyerahkan Teluk Belanga, Singapura kepada Sultan Sir Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim pada tahun 1862.
“Sebenarnya, Teluk Belanga merupakan sebuah kawasan yang menjadi milik Inggeris di Singapura. Namun, hasil hubungan baik yang terjalin antara baginda dan Inggeris, kawasan tersebut telah diserahkan oleh pihak Inggeris kepada Sultan Abu Bakar dan dari situlah nama Teluk Belanga diambil untuk baju Melayu yang sangat sinonim dengan orang Johor.
“Ia juga adalah sempena perubahan lokasi pentadbiran Johor dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada 1866. Jika diteliti, terdapat elemen pesak dan kekek pada pemotongan baju, jahitan tulang belut pada bahagian leher serta dikancing dengan satu butang sahaja menambah keistimewaan tersendiri kepada busana ini,” katanya.
Bagaimanapun, Zurawaty berkata, terdapat perbezaan pemakaian baju Melayu Teluk Belanga bagi kerabat DiRaja Johor dan rakyat biasa.
“Lazimnya, golongan istana akan mengenakan warna yang tidak sedondon seperti baju Melayunya berwarna biru, tetapi seluar berwarna hitam, manakala rakyat biasa akan memakai pakaian yang sedondon,” katanya.
Mengulas mengenai evolusi rekaan baju Melayu Teluk Belanga, beliau berpendapat tidak menyalahi untuk mengubah reka bentuk dari segi potongan badan, tetapi perlulah selari dengan konsep asal pakaian tersebut.
“Mungkin ada golongan yang selesa dengan potongan yang lebih moden dan ada yang gemar dengan potongan asal yang agak besar. Tetapi, elemen-elemen asal yang melambangkan baju Melayu Teluk Belanga perlu dimasukkan. Ada sebabnya mengapa orang-orang terdahulu menghasilkan baju ini dengan potongan yang agak besar berbanding zaman sekarang.
“Ia adalah untuk memudahkan golongan lelaki khususnya untuk mengambil air sembahyang, membuat kerja-kerja lasak dan juga bersilat. Saya berpendapat mungkin pereka-pereka fesyen khususnya golongan muda tidak mendapat pendedahan atau maklumat yang tepat berkenaan dengan rekaan sebenar pakaian ini,” katanya.
Zurawaty menzahirkan harapan pereka fesyen masa kini supaya tidak mengabaikan ciri-ciri asal baju Melayu Teluk Belanga yang lebih menyerlahkan elemen-elemen klasik dan tradisional.
Sementara itu, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli berkata, baju Melayu direka oleh Sultan Abu Bakar adalah jenis cekak musang dengan tulang belut.
“Cekak musang asalnya pakaian anak raja dan dato’ (pembesar). Baju Melayu Teluk Belanga tulang belut dijadikan pakaian rasmi bagi orang Melayu ketika hadir di Istana mulai tahun 1982 atas titah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
“Baju kurung Teluk Belanga bagi perempuan adalah longgar dan labuh sesuai dengan ajaran agama Islam. Leher tulang belut disebut sebagai leher tebuk dan disembat halus dengan tangan, (selain) dikancing dengan satu butang,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor
Kemaskini, 20 April 2023 / Setakat Jam 9 malam