JDT kutip tiga mata lagi
ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya sebentar tadi.
Turun dengan skuad yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini, pasukan kendalian Esteban Solari itu berpeluang untuk berada di depan namun sepakan penalti Bergson Da Silva dinafikan penjaga gawang lawan.
Meskipun beraksi di laman lawan, JDT dilihat lebih selesa menguasai permainan manakala pasukan tuan rumah pula lebih banyak bermain di kawasan sendiri dan menunggu peluang untuk melakukan serangan balas.
Skuad Harimau Selatan perlu menanti sehingga separuh masa kedua untuk memecahkan kebuntuan pada minit ke-61 menerusi Fernando Foriestieri yang mengambil kesempatan di atas kelekaan barisan pertahanan The Cops.
Sepuluh minit kemudian, PDRM dirundung malang apabila pemain import mereka, Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah sekali gus memaksa mereka beraksi dengan 10 orang pemain.
Percubaan demi percubaan terus dilancarkan skuad Harimau Selatan hingga minit akhir namun gagal menambah jaringan dan keputusan kekal ke wisel penamat.
Kemenangan tersebut meletakkan JDT selesa sebagai pendahulu carta liga dengan mengutip 27 mata dalam sembilan perlawanan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor
Foto: JOHOR Southern Tigers