BAKI LANTIKAN 42 KETUA KAMPUNG DI JOHOR SELEWAT-LEWATNYA PADA MEI


Seramai 625 daripada 667 ketua kampung di Negeri Johor telah dilantik dan mula berkhidmat sejak Januari lalu.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelantikan baki 42 lagi kekosongan jawatan ketua kampung di negeri ini, akan diselesaikan selewat-lewat pada Mei ini.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

Beliau berkata, terdapat 667 ketua kampung di Johor, namun sehingga kini seramai 625 orang sudah dilantik dan berkhidmat sejak Januari lalu, manakala selebihnya masih dalam proses pemilihan dan temuduga.

 

“Tapi saya nak nyatakan, semasa kita adakan pemilihan dan temuduga, hampir 1,700 orang yang mohon daripada 667 kekosongan.

 

“Ini menunjukkan bahawa Negeri Johor ada ramai sebenarnya, mereka yang berminat, (dan) berpotensi untuk jadi ketua kampung.

 

“Jadi kita (kerajaan negeri) dalam proses untuk mengisi (baki 42) kekosongan. Sepatutnya selewat-lewat bulan Mei,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar Johor Bersama Ketua Kampung Negeri Johor, hari ini.

 

Selain itu, Zahari berkata, kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula, dapat mempertimbangkan kenaikan elaun ketua-ketua kampung.

 

“Kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun (ketua kampung) RM300 menjadikan RM700 daripada kerajaan negeri. Dan (daripada) kerajaan pusat (pula) RM500. Jadi jumlah keseluruhan (elaun ketua kampung) hari ini, daripada RM900 (pada) tahun lepas kepada RM1,200 tahun ini.

 

“Dan kita masih lagi menjalankan perbincangan dengan kerajaan pusat di mana kita minta supaya sekurang-kurang elaun ketua kampung ini RM1,500. Jadi kita harap dalam bajet yang akan dibentangkan nanti ataupun dari masa ke masa, kerajaan pusat akan fikirkan untuk kenaikan elaun ketua kampung ini,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor