MENTERI BESAR JOHOR UMUM ‘BERITA GEMBIRA’ KEPADA KETUA KAMPUNG


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Amanat Bersama Ketua Kampung Negeri Johor di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini, mengumumkan berita gembira untuk Ketua-Ketua Kampung sempena Majlis Amanat Bersama Ketua Kampung Negeri Johor.

 

Pengumuman tersebut sebagai mengiktiraf dan menghargai komitmen serta usaha pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi itu.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM100,000 kepada Persatuan Ketua-Ketua Kampung Peringkat Daerah di mana setiap daerah masing-masing menerima RM10,000.

 

“(Manakala) Untuk Persatuan Ketua-Ketua Kampung Peringkat Negeri, kita (kerajaan negeri) bagi RM20,000. Jadi jumlahnya RM120,000 setahun. Dan peruntukan ini boleh digunakan untuk pentadbiran, kematian, ataupun bantuan yang diperlukan di kalangan ketua-ketua kampung dan sebagainya. Inilah sedikit sumbangan kerajaan negeri,” kata beliau ketika menyampaikan amanat di hadapan 625 Ketua Kampung Seluruh Johor.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim serta Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkata, inisiatif kerajaan negeri menaikkan elaun Ketua Kampung sebanyak RM300 iaitu daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan yang bermula sejak 1 Januari lalu, melibatkan jumlah RM2.4 juta setahun.

 

Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan setiap kampung akan diperuntukkan RM1,000 untuk membeli keperluan bagi menjayakan aktiviti gotong royong sempena Program Johor Bersih.

 

“Dengan pengumuman ini, apa yang hendak saya nyatakan ialah, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan berada di dewan ini adalah satu pertemuan cukup penting bagi kerajaan negeri. Kerana, daripada empat juta penduduk Johor, hampir satu juta berada di kampung-kampung.

 

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak diperkasakan, mana mungkin tuan-tuan dan puan-puan dapat bergerak dengan secara efektif. Tanggungjawab yang dipikul oleh tuan-tuan dan puan-puan, adalah satu amanah yang cukup besar. Saya yakin dengan kesabaran, kita doa supaya elaun tadi yang telah ditambah oleh kerajaan negeri, akan disambut baik oleh kerajaan persekutuan (supaya elaun dapat dinaikkan kepada RM1,500),” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor