BANJIR MUAR PULIH, MANGSA DI PPS BERKURANGAN


Pemantauan paras air dilakukan oleh anggota APM Muar di Kampung Jawa, Sungai Meda dan Bukit Kepong, Muar, semalam | Sumber gambar Facebook APM Daerah Muar.

 

ISKANDAR PUTERI — Mangsa banjir di negeri ini, menunjukkan trend penurunan kepada 2,660 orang terdiri 743 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, sebanyak tiga PPS telah ditutup setakat ini, melibatkan dua di Segamat dan satu di Muar.

 

“PPS yang ditutup hari ini adalah Pogoh Tengah dan Bangunan Syarikat Paduan (Kampung Chodan) di Segamat, selain Balairaya Kampung Jawa di Muar.

 

“Ia menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi adalah 30 PPS berbanding data sebelum ini, iaitu 33 PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, sebanyak 2,687 orang daripada 747 keluarga ditempatkan di PPS dalam laporan jam 12 tengah hari tadi.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penutupan satu PPS di Muar itu menjadikan jumlah daerah yang terjejas akibat banjir terkini adalah enam iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Tangkak.

 

“Kota Tinggi dengan lapan PPS masih beroperasi diikuti Mersing dan Batu Pahat masing-masing dengan tujuh PPS, Segamat (empat), Kluang (tiga) dan Tangkak (satu). Tiada perubahan yang ketara dari segi jumlah mangsa banjir di keenam-enam daerah ini,” katanya.

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan tahap Bahaya di Mersing dan Kota Tinggi, diikuti tahap Buruk di Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru serta tahap Waspada di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian sehingga 30 Januari ini.

 

Berhubung jadual paras air sungai, sub-lembangan Sungai Endau berada pada aras Bahaya manakala Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Muar di Kampung Awat, Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Lenik di Ladang Chaah, Sungai Muar, Sungai Bekok dan Sungai Sembrong di Empangan Sembrong pada aras Amaran.

 

Berkaitan maklumat jalan terputus hubungan pula, dua laluan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

Selain itu, dua laluan iaitu Jalan Belukar Juling (J75) dan Jalan Endau Penyabong (J182) di Mersing selain Jalan Mawai Lama (J172) di Kota Tinggi dibuka kepada kenderaan berat.

 

Sementara Jalan Putting / Kawasan Kebun (J279) dan Jalan Bekok (J150) di Segamat dibuka kepada kenderaan ringan manakala Jalan Kahang Barat (J94) dibuka kepada kenderaan berat dan ringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor