LEBIH 2,000 MANGSA BANJIR DITEMPATKAN DI 33 PPS


PPS SK Tenglu beroperasi bagi menempatkan lapan keluarga terdiri 30 penduduk dari Kampung Air Papan dan Kampung Tenglu.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 2,511 orang daripada 697 keluarga diberikan penempatan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, satu PPS baharu dibuka di Mersing iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu jam 4.30 pagi.

 

Menurutnya, PPS tersebut menempatkan lapan keluarga terdiri 30 penduduk dari Kampung Air Papan dan Kampung Tenglu.

 

“Setakat ini, pertambahan hanya melibatkan daerah Mersing sahaja, di mana tiada sebarang perubahan data direkodkan bagi enam daerah lain iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

 

“Selain itu, tiada kemalangan jiwa direkodkan dalam bencana banjir setakat ini,” katanya dalam laporan dikeluarkan jam 8 pagi, hari ini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, secara kumulatif, sebanyak 46 PPS telah ditutup secara berperingkat sehingga kini, susulan situasi banjir pulih di kawasan terlibat.

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap Bahaya di Mersing dan Kota Tinggi diikuti tahap Buruk di Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru serta tahap Waspada di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian sehingga 30 Januari ini.

 

Justeru, penduduk yang terjejas dinasihatkan untuk berada dalam keadaan bersiap siaga sekali gus segera berpindah ke PPS sekiranya diarahkan berbuat sedemikian demi keselamatan masing-masing.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor