BANTUAN KASIH JOHOR TURUT PERKASA KEBAJIKAN PETUGAS AGAMA

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ketika ditemui pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperluaskan manfaat Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang kini memasuki fasa keempat pelaksanaannya, susulan prestasi ekonomi memberangsangkan serta kutipan hasil negeri yang kukuh.
Ia secara tidak langsung membolehkan Kerajaan Negeri merangka pelbagai inisiatif termasuk tambahan kategori penerima baharu termasuk yang melibatkan petugas hal ehwal agama Islam.
Usaha ini memperkukuh komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara secara menyeluruh, termasuk dalam aspek pembangunan dan pengurusan hal ehwal agama Islam, jelas YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Penambahan kategori ini menyaksikan kumpulan sukarelawan penggali kubur, pegawai agama bertauliah tidak berelaun serta jawatankuasa masjid dan surau bakal menerima bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM200 seorang dengan jumlah peruntukan RM7.6 juta.
Bagi jawatankuasa masjid dan surau, peruntukan sebanyak RM6 juta turut disediakan dan ia bakal memanfaatkan kira-kira 30,000 penerima di seluruh negeri ini. Mereka terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa yang disahkan oleh Pejabat KADI Daerah serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Selain itu, bantuan BKJ kali ini turut melibatkan seramai 3,000 sukarelawan penggali kubur Islam yang aktif menjalankan tugas kebajikan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM600,000.
Turut menerima manfaat ialah sekitar 5,000 pegawai agama bertauliah yang tidak menerima elaun tetap, melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta merangkumi imam, bilal, noja, pemegang tauliah mengajar serta guru al-Quran yang mempunyai sijil tauliah masih aktif.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Empat dengan nilai peruntukan sebanyak RM138 juta pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



