KONSISTENSI JOHOR JEWELS TEMPAH TIKET KE SEPARUH AKHIR

Johor Jewels bangkit mencatat dua kemenangan penting ke atas Pahang Tulips dan KL Wildcats, sekali gus menamatkan liga di tempat kedua dan mara ke separuh akhir. | Foto Johor Jewels
#IskandarPuteri – Biarpun kecundang di perlawanan pembukaan minggu ketiga Netball Super League (NSL) 2026 menentang Terengganu Marvels, Johor Jewels bangkit meraih kemenangan penting dalam dua perlawanan berikutnya menentang Pahang Tulips dan KL Wildcats untuk menamatkan saingan liga di tempat kedua, sekali gus layak ke peringkat separuh akhir.
Perlawanan tumpuan yang berlangsung pada 1 Mei 2026 di Stadium Juara Bukit Kiara itu menyaksikan Johor Jewels mencatat kekalahan pertama 55-59 kepada Terengganu Marvels. Perlawanan ini boleh dianggap sebagai ‘kemuncak awal’ NSL musim ini, di mana ketajaman serangan dan keampuhan pertahanan Marvels berjaya mengatasi aksi kental Jewels dalam perlawanan yang cukup sengit sehingga minit terakhir.
Skuad kendalian Jane Searle bangkit semula pada Sabtu apabila berjaya menundukkan Pahang Tulips 77-54 sekaligus menjadi titik kebangkitan penting buat skuad Jewels.
Kedudukan kedua dalam liga berjaya disahkan oleh Johor Jewels selepas mempamerkan aksi bertenaga menewaskan KL Wildcats dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Mei dengan keputusan 66-50.
Selesai peringkat liga NSL 2026 menyaksikan Johor Jewels mengekori Terengganu Marvels ke separuh akhir selain pasukan KL Wildcats dan Kedah Sunshine yang akan membuat penentuan kejuaraan musim ini.
Perlawanan separuh akhir NSL 2026 bakal menyaksikan Johor Jewels menentang KL Wildcats dan Terengganu Marvels akan bertemu Kedah Sunshine pada 9 Mei 2026 dengan pemenang akan berentap di final pada 10 Mei 2026.
#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#ReclaimTheCrown
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


