BANTUAN MANGSA BANJIR PERLU IKUT SALURAN


Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Dato’ Onn Jabbar ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Southern Volunteers Konvoi Pasca Banjir Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan boleh menghulurkan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir melalui saluran yang disediakan.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Dato’ Onn Jabbar berkata, saluran tersebut adalah melalui Southern Volunteers (SV), Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) dan Pusat Gerakan Pasca Banjir Daerah atau ‘Command Centre’.

 

“Tujuan kita supaya sumbangan ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur. Tapi, sekiranya pihak NGO terus menghulurkan bantuan secara terus kepada PPS, kita khuatir sebenarnya. Khuatir bukan apa, barang-barang ini akan menjadi ‘rebutan’ di kalangan mangsa-mangsa banjir.

 

“Jadi bila barang-barang ini disampaikan di peringkat Daerah, perkara ini akan diselaraskan dan akan dibahagikan sama rata kepada mangsa-mangsa banjir,” kata beliau ketika Majlis Pelepasan SV Konvoi Pasca Banjir Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Bercakap mengenai misi tersebut, On berkata, seramai 230 sukarelawan terlibat dalam misi selama lima hari itu bagi membersihkan kediaman yang terjejas terutama di kawasan yang telah surut banjir di daerah Segamat.

 

“Gerak kerja pasca banjir di peringkat negeri kita telah membahagikan kepada dua kategori. Pertama, gerak kerja diketuai oleh saya meliputi SV dan PBT yang tidak terlibat dengan banjir secara langsung.

 

“Kedua, PBT (di daerah) menubuhkan ‘Command Centre’ ataupun bilik gerakan untuk menyelaraskan segala bentuk bantuan pasca banjir ini. Agensi ataupun NGO yang berkaitan boleh melapor diri di ‘Command Centre’ tersebut,” katanya

 

Misi SV Konvoi Pasca Banjir Negeri Johor ke daerah Segamat telah disempurnakan pelepasan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor