KOLEJ KEDIAMAN PERWIRA UTHM BEROPERASI SEBAGAI PPS


Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim meninjau suasana Kolej Kediaman Perwira yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir / Gambar Ihsan UTHM.

 

BATU PAHAT — Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya, UTHM berkata PPS terbabit akan diketuai oleh Pengarah Pusat Perumahan Pelajar UTHM, Prof Madya Ts Dr Mohd Halim Irwan Ibrahim serta dibantu oleh Pegawai Unit Kesejahteraan Staf dan Perkhidmatan OKU di Pejabat Pendaftar UTHM.

“Naib Canselor UTHM, Prof Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim turut meninjau proses pendaftaran mangsa banjir di Kolej Kediaman Perwira dan pada masa sama turut menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS berkenaan.

“Untuk makluman, PPS Kolej Kediaman Perwira UTHM ini telah menyediakan sebanyak 1,021 katil yang disediakan bagi kegunaan mangsa banjir berkenaan,” katanya.

Seramai 41,543 orang daripada 11,818 keluarga ditempatkan di 198 PPS di lapan daerah berikutan banjir Negeri Johor, setakat 12 tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 29,341 mangsa dari 8,278 keluarga adalah dari daerah Batu Pahat yang kini sedang mendapatkan perlindungan di 94 PPS di seluruh daerah berkenaan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor