BARISAN EXCO KERAJAAN ‘TURUN PADANG’ BANTU MANGSA BANJIR


Barisan EXCO Johor menyantuni mangsa-mangsa banjir di daerah Segamat. | Sumber foto: Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai lapan orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor hari ini turun padang menjalankan Misi Bantuan Pasca Banjir di daerah Segamat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail, berkata ia bertujuan untuk menyantuni mangsa banjir di daerah berkenaan yang kini membabitkan seramai 1,121 mangsa yang berlindung di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat.

 

“Operasi pembersihan juga dijalankan di sebuah rumah di Kampung Mengkudu, Segamat dengan mengemas perabot-perabot dan kawasan rumah yang telah diselaputi lumpur yang turut dibantu Southern Volunteers (SV). Saya berharap agar tuan rumah sabar dengan ujian yang dihadapi”, katanya.

 

Misi ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Fazli Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh.

 

Selain itu, Khairin Nisa berkata, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ), Pejabat Daerah Segamat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat sama dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.

 

“Saya berharap agar dalam waktu pasca banjir ini semoga mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir tabah dalam menghadapi dugaan dari Allah SWT dan bangkit untuk meneruskan menjalankan kehidupan seharian”, katanya.

 

Khairin Nisa juga menyantuni kakitangan (PKMD) dengan memberikan sumbangan bagi mengurangkan beban yang menimpa mangsa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor