JOHOR CATAT PELABURAN RM70.6 BILION, TERTINGGI BAGI TAHUN 2022


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mohd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz / Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor mencatatkan penerimaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) iaitu sebanyak RM70.6 bilion yang juga pelaburan yang tertinggi dalam Negara bagi tahun 2022.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan ini dijangka akan dapat menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia khususnya di Johor.

 

“Pelaburan-pelaburan ini akan menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut berterima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mohd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han kerana merealisasikan objektif beliau untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

 

“Tidak dilupakan juga kepada, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor serta semua agensi-agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri.

 

“InsyaAllah, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan negeri Johor yang kita cintai ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor