HASIL JUALAN TIKET JDT DISALURKAN KEPADA MANGSA BANJIR JOHOR


Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards menjunjung titah DYAM Tunku Ismail agar hasil jualan tiket JDT sepanjang Ramadan disalurkan kepada mangsa banjir Johor. | Gambar Ihsan JOHOR Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menitahkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim supaya kesemua hasil jualan tiket perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim disalurkan kepada mangsa banjir di Johor.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alistair Edwards, berkata menjunjung titah DYAM Tunku Ismail, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim akan melaksanakan inisiatif berkenaan membabitkan perlawanan bola sepak sepanjang bulan Ramadan ini.

 

“Ia melibatkan perlawanan Liga Super iaitu menentang Kelantan (11 Mac); Sabah (31 Mac); Kedah (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM pada 14 April kelak,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.

 

Edwards berkata, kesemua dana hasil daripada penjualan tiket itu akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pejabat-pejabat daerah di negeri Johor.

 

Dalam keyataan sama, beliau turut memaklumkan pembelian tiket bagi perlawanan antara pasukan JDT melawan Kelantan yang akan berlangsung pada 11 Mac ini boleh dibuat melalui pautan https://ticket.tickethotline.com.my/club/johordarulta’zimii/08/home

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor