BATIK IDENTITI JOHOR TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA


Rafidah Ahmad, 49, menunjukkan demonstrasi pembuatan tekstil batik jenis blok bermotif gambus. | Foto MDJ Dania Farisya

 

Apabila bercakap mengenai batik, pasti dalam fikiran kita terus terarah ke negeri terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kerana seni tekstil Batik ini cukup sinonim dan terkenal dari Kelantan dan Terengganu.

 

Seni kraf warisan tempatan bermotifkan identiti budaya masyarakat ini menggunakan lilin sebagai bahan pengantara yang memisahkan warna daripada tembus ke kain bagi menghasilkan corak.

 

Bagi Rafidah Ahmad, 49, pengusaha batik sejak tahun 2011 di Negeri Johor pula menekankan konsep, motif dan identiti Johor seperti lada hitam dalam karyanya.

 

Selain motif lada hitam, nanas, berembang, gambus dan durian juga diperkenalkan dalam karyanya dimana hasil rekaan tersebut semuanya dibangunkan sendiri oleh pereka Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Johor.

 

Dengan kesemua aspek berkenaan, curahan kreativiti penghasilan batik dilakukan menggunakan kaedah blok iaitu kepingan tembaga yang dibentuk mengikut acuan motif tertentu.

 

Beliau yang merupakan pengasas The Batik House by Imarazak juga menghasilkan batik dengan corak bermotifkan tanglung, bunga teratai, selain konsep motif tabur dan penuh yang menerima sambutan dari dalam dan luar negara.

 

Dengan beroperasinya premis di Kompleks Kraf Johor sejak tahun 2017 itu, pasaran batik diusahakan kini lebih meluas sehingga menerima pesanan dari pelancong asing seperti Indonesia, Switzerland, Kanada, Jepun, Dubai, Taiwan, China, Rusia, Poland dan Amerika Syarikat.

 

Akui mendapat bimbingan daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Johor, Rafidah memberitahu seni pembuatan batik merupakan kemahiran terlatih bagi mendapatkan hasil yang kemas, tersusun dan diiktiraf sebagai produk kraftangan Malaysia.

 

Proses menghasilkan batik bermula dengan curahan idea reka bentuk dikemukakan pelanggan sebelum dicanting atau diterap dan diwarnakan atas permukaan fabrik jenis 100 peratus kain kapas ataupun sutera.

 

Selain itu, terdapat juga penggunaan teknik lain termasuklah ‘double boil’, ‘shadow’ dan abstrak yang menghasilkan seni tekstil yang memukau serta mempesonakan.

 

Setiap penghasilan batik mengambil masa kira-kira lebih 12 jam untuk proses pematian warna seterusnya direndam dengan cecair natrium silikat dan akhirnya direbus bagi tujuan menanggalkan lilin pada kain.

 

Menariknya, batik beranggaran satu meter yang siap dihasilkan akan dihantar ke makmal untuk diuji tahap kelunturan warna dan kekecutan kain bagi memastikan kaedah penggunaan lilin adalah betul dan berkualiti. Jenama Imarazak juga telah mendapat Sijil Pengiktirafan Produk Kraftangan Malaysia Standard Produk Batik Malaysia (1:2022) dan Sijil Pematuhan Kualiti Batik Malaysia (MS692).

 

Produk The Batik House by Imarazak sedia menembusi pasaran antarabangsa di samping menyediakan ruang dan peluang kepada pengunjung merasai pengalaman mencanting atau menerap serta mewarna batik.

 

THE BATIK HOUSE BY IMARAZAK

Waktu Operasi:
🗓 Setiap Hari
🕛 Jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang
📍 Wakaf 1, Perkampungan Kraf, Kompleks Kraftangan Johor, Jalan Cenderasari, Off, Jln Datin Halimah, Larkin, 80350 Johor Bahru, Johor

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor